Op Soga: 54 individu ditahan judi Piala Dunia di Sarawak

Mohd Azman. - Foto Bernama
Mohd Azman. - Foto Bernama
A
A
A
KUCHING - Polis menahan 54 individu termasuk empat warga asing di Sarawak kerana terlibat dengan aktiviti perjudian dan pertaruhan dalam talian yang berkaitan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada 42 lelaki dan 12 wanita dalam lingkungan umur berumur 18 hingga 53 tahun itu ditahan dalam 43 serbuan Ops Soga IX, yang bermula 19 November lepas hingga Rabu.

"Daripada jumlah itu, 43 kertas siasatan telah dibuka dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dan 17 daripadanya telah dituduh di mahkamah, dengan semua yang dituduh mengaku bersalah dan perlu membayar denda,” katanya dalam sidang media Op Soga IX di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada Rabu.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan dianggarkan RM50,000 dan antara barang rampasan adalah wang tunai berjumlah RM6,744, empat unit komputer, 47 unit telefon pintar, dua komputer riba, lima mesin pencetak dan jadual perlawanan bola sepak.

Menurutnya, ketua sindiket itu turut berjaya ditahan.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Mohd Azman berkata, polis Sarawak akan menjalankan Ops Bersepadu Cegah Jenayah bermula Sabtu ini (24 Disember) hingga 1 Januari tahun depan sempena sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2023 bagi memerangi jenayah di semua daerah, mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan memastikan rumah yang ditinggalkan sepanjang perayaan dalam keadaan selamat. - Bernama