Agihan pendapatan ASB 4.60 sen, bonus tambahan 0.50 sen

Foto fail Bernama
Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

ASNB telah mengumumkan dividen sebanyak 3.35 sen dan bonus 1.25 sen, berjumlah 4.60 sen seunit.

Selain itu, ASNB mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion itu akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.

ASB berjaya memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang mencatatkan kadar purata sebanyak 2.27 peratus sepanjang tahun ini.

ASB, alat simpanan dan pelaburan utama bagi kaum Bumiputera, mencatat peningkatan unit dalam edarannya kepada 186.4 bilion unit daripada 181.8 bilion pada tahun lepas.

Sementara itu, bilangan pemegang unit meningkat kepada 10.6 juta daripada 10.4 juta pada tahun lepas.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar, pihaknya telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk bonus tambahan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB, manakala bonus tambahan pula untuk membantu pemegang unit berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.

Arifin
Arifin

"Ketegangan geopolitik, inflasi, kenaikan kadar faedah dan dasar sifar-Covid di China telah membawa kepada peningkatan ketidaktentuan pasaran. Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, berbanding suku kedua 2022 pada 8.9 peratus dan suku pertama 2022 pada 5 peratus.

"Namun, pasaran modal turut terjejas akibat trend makro global, iaitu inflasi, kadar faedah tinggi, gangguan rantaian bekalan dan pengukuhan mata wang Dollar Amerika.

"Sehingga kini, Indeks Komposit Kuala Lumpur FBM telah menurun sebanyak 6.7 peratus setakat 21 Disember 2022," katanya.

Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, tahun ini, syarikat-syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan, didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

"Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

“ASB terus memberikan pulangan mengatasi penanda arasnya, hasil daripada strategi perumpukan aset dan kepelbagaian yang telah kami laksanakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” tambah Ahmad Zulqarnain.

PNB sekali lagi menunjukkan daya tahannya dalam mengharungi ketidaktentuan pada tahun 2022.

Untuk 11 bulan pertama tahun ini, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM336.7 bilion kepada RM343.1 bilion.

Dalam tempoh yang sama, unit dalam edaran untuk kesemua 17 dana ASNB meningkat daripada 276.2 bilion unit kepada 283.2 bilion unit manakala jumlah pemegang akaun bertambah kepada 15.2 juta daripada 14.8 juta pada 2021.

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Ahmad Zulqarnain Onn
Ahmad Zulqarnain Onn

Pengiraan pengagihan bonus tambahan adalah tertakluk kepada 30,000 unit pertama untuk setiap akaun.

Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2023.

Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan bonus tambahan dibayar daripada dana proprietari.

PNB atas budi bicara syarikat.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan Internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 31 Disember 2022.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Januari 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 3 Januari 2023.