Teliti sepenuhnya tindakan penilaian bubar GIACC

Muhammad Mohan
Muhammad Mohan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan untuk meneliti cadangan membubarkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) harus dilihat secara mendalam dan hasil penelitian juga perlu diperhalusi sepenuhnya.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, sebagai sebuah badan yang dilihat telah berjaya memberi impak kepada urusan governan dan integriti, cadangan penutupan GIACC sewajarnya dikaji sepenuhnya kerana ia boleh memberi kesan kepada negara.

Menurutnya, satu badan yang kompeten diperlukan untuk menjayakan usaha kerajaan memerangi budaya rasuah dan merancang hal urus tadbir negara dengan baik.

Oleh yang demikian katanya, apa yang penting adalah kerajaan perlu mempunyai rancangan jelas untuk memerangi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam negara.

Katanya, pengekalan GIACC adalah suatu perkara yang serupa seperti perancangan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang menekankan tindakan pencegahan untuk mengurangkan peluang rasuah daripada terus berlaku.

"Persoalannya, siapa yang terbaik untuk melaksanakan rancangan NACP ini selain daripada GIACC?

"Jika kebanyakan inisiatif perlu dilaksanakan oleh agensi kerajaan, sebaik-baiknya unit kerajaan dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mempunyai mandat untuk memantau, menyemak dan melaporkan rancangan tersebut kepada Perdana Menteri.

"Ini lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri menganggap memerangi rasuah sebagai objektif utama di bawah kepimpinannya, maka Perdana Menteri harus kerap diberi taklimat oleh unit yang berada dalam pentadbirannya," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya lagi, walaupun agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai mandat untuk menangani rasuah melalui langkah pencegahan, namun tugas utama kedua-duanya adalah untuk menyiasat serta membina kes yang kukuh terhadap pesalah.

Oleh sebab itu menurutnya, kedua-dua entiti penguatkuasaan itu sewajarnya disokong oleh undang-undang yang cukup kuat untuk melaksanakan tugas penting demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara.

"Oleh yang demikian, TI-M merasakan bahawa unit yang mempunyai sumber yang baik dalam kerajaan seperti GIACC harus menerajui tindakan dan melaksanakan inisiatif anti rasuah kepada kerajaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!