Pemandu ingkar notis arah timbang

Anggota JPJ melakukan proses timbang ke atas lori yang dikeluarkan Notis Arah Timbang di Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota pada Selasa lalu. - Foto FB JPJ Pahang
Anggota JPJ melakukan proses timbang ke atas lori yang dikeluarkan Notis Arah Timbang di Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota pada Selasa lalu. - Foto FB JPJ Pahang
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengeluarkan lima notis arah timbang ke atas lori yang dikesan membawa lebih muatan dalam Ops Lebih Muatan yang diadakan di sekitar Jalan Kuantan-Sungai Lembing dan Jalan Kuantan-Pekan di sini, Selasa lalu.

Pengarahnya, Kamarul Iskandar Nordin berkata, pihaknya mendapati ada pemandu gagal mematuhi notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu.

Menurutnya, daripada lima lori yang dikeluarkan notis arah timbang itu, satu gagal hadir dan dua dikesan membuang muatan sebelum hadir ke Kompleks JPJ Pahang, Indera Mahkota untuk ditimbang.

"Dua lagi dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) atas kesalahan membawa lebih muatan melebihi 35 peratus dari had yang dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kamarul Iskandar berkata, bagi kesalahan buang muatan dan tidak hadir timbang, pemandu terbabit akan dihadapkan ke mahkamah dengan peruntukan denda tidak melebihi RM10,000 jika disabitkan kesalahan.

"Bagi kes di bawah APAD, pemandu serta syarikat juga akan dibawa ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman didenda sehingga RM500,000," katanya.

Sementara itu katanya, dalam operasi yang dijalankan secara rondaan itu, pihaknya turut mengesan lori-lori yang beroperasi dengan cukai jalan tamat tempoh.

Beliau berkata, lori tersebut telah ditahan dan juga diarahkan datang untuk ditimbang di Kompleks JPJ Pahang menggunakan unit timbang mudah alih.

Artikel Berkaitan:

"JPJ Pahang akan mengambil tindakan tegas kepada syarikat dan pemandu lori yang dikesan membawa muatan secara bahaya dan berlebihan sehingga boleh mengancam keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Perbuatan itu juga boleh merosakkan permukaan jalan dan akhirnya berisiko mengakibatkan kemalangan atau kerosakan kenderaan pengguna lain," ujarnya.

Tambah beliau, orang awam mempunyai pelbagai cara untuk membuat aduan termasuk melalui aplikasi MyJPJ atau e-aduan@JPJ yang boleh dimuat turun melalui Google PlayStore dan Apple AppStore atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my.