ALLAH peliharakanlah Terengganu

Bersama-samalah kita berdoa semoga ALLAH SWT 'peliharakanlah Terengganu' bersama rakyatnya. - Foto 123rf
Bersama-samalah kita berdoa semoga ALLAH SWT 'peliharakanlah Terengganu' bersama rakyatnya. - Foto 123rf
A
A
A

JIKA pengunjung kali pertama ke Kuala Terengganu pasti terpegun melihat papan tanda berukiran 'ALLAH Peliharakanlah Terengganu' di Bukit Besar ketika melalui Jambatan Sultan Mahmud.

Mercu tanda negeri Darul Iman itu lebih mempesonakan apabila tulisannya bercahaya lampu merah dan boleh terlihat berkilometer dari jauh termasuk dari udara ketika menaik kapal terbang.

Ketika ini, pemandangan di Terengganu seperti rumah dan kenderaan hanyut sudah menjadi kebiasaan, terbaharu pondok polis dan stesen minyak pula terpaksa ditutup.

Hujan lebat sejak awal bulan ini semakin memburuk sehingga menyebabkan banjir teruk di beberapa daerah seperti Kemaman, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.

Keadaan banjir ini semakin meruncing apabila lebih 40,000 mangsa berada di hampir 300 pusat pemindahan sementara (PPS).

Umum mengetahui bencana banjir khususnya di negeri-negeri Pantai Timur bukan asing lagi pada hujung tahun.

Namun, setiap kali banjir melanda, masih kedengaran isu-isu seperti mangsa tersadai dan bantuan lambat sampai.

Ini menyebabkan ada keluarga terpaksa meminta bantuan melalui kuasa viral di media sosial.

Artikel Berkaitan:

Sampai bila pengurusan bencana dapat ditambah baik?

Sampai bila infrastruktur tempat-tempat berisiko bencana ditambah baik?

Bila kita hendak berubah atau sebenarnya kita tidak pernah belajar daripada pengalaman?

Mengambil contoh Jepun yang mempunyai titik-titik gempa bumi di serata negeri, namun setiap kali bencana berlaku, seluruh rakyatnya tidak panik malahan tindakan pantas mereka membaik pulih kerosakan sangat dikagumi dunia.

Kejadian jalan di tengah bandar Fukuoka runtuh secara tiba-tiba pada 2016 masih terpahat di ingatan ramai sehingga hari ini.

Runtuhan sedalam hampir 30 meter ini turut menjejaskan sistem bekalan air, gas dan elektrik namun, kerosakan ini berjaya dibaiki semula dalam masa 48 jam sahaja malah 30 kali ganda lebih kuat berbanding sebelumnya.

Ini adalah satu contoh yang baik ditunjukkan oleh Jepun dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat negara mereka.

Kembali kepada situasi banjir semasa, bersama-samalah kita berdoa semoga ALLAH SWT 'peliharakanlah Terengganu' bersama rakyatnya.

Tidak lupa juga Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Johor turut dilanda musibah banjir ketika ini.