PRN: Polis Kedah terima dua laporan khianat papan tanda

Fisol (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.
Fisol (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah menerima dua laporan khianat pada papan tanda yang dipercayai ada kaitan dengan pilihan raya di negeri ini tidak lama lagi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, laporan polis itu diterima di daerah Kubang Pasu dan Kulim pada Rabu.

Bagaimanapun, Fisol memaklumkan, pihaknya tidak membuat sebarang tangkapan berhubung kes khianat itu setakat ini.

"Dalam suasana ketika PRN makin dekat ini, kita telah menerima beberapa laporan berhubung tindakan menconteng papan tanda.

"Saya ingin menyeru semua masyarakat Kedah supaya tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mencetus provokasi dan menggugat ketenteraman awam," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Khamis.

Tambah beliau, pihaknya akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan terutamanya yang menyentuh isu 3R iaitu agama, raja, dan kaum.

Sehubungan itu, beliau berkata, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.