Wan Azizah ziarah keluarga 3 maut terkena renjatan elektrik

Wan Azizah (kanan) bertanyakan khabar kepada ibu mangsa Zainun Sulaiman, 62, (dua dari kiri) sewaktu menziarahi keluarganya di Kampung Bendang Surau dekat Morak pada Rabu. - Foto Bernama
Wan Azizah (kanan) bertanyakan khabar kepada ibu mangsa Zainun Sulaiman, 62, (dua dari kiri) sewaktu menziarahi keluarganya di Kampung Bendang Surau dekat Morak pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Rabu meluangkan masa melawat keluarga tiga beradik perempuan yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir, Isnin lepas.

Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR tiba di rumah keluarga mangsa pada 6.30 petang di Kampung Bendang Surau, Morak.

Beliau meluangkan masa 30 minit bertanya khabar dan menzahirkan rasa sedih ke atas kejadian itu.

Ketika ditemui pemberita, Dr Wan Azizah berkata, beliau dimaklumkan ketiga-tiga mangsa dikategorikan sebagai mangsa banjir dan layak diberikan pampasan.

"Alhamdulillah mereka sekeluarga kuat menghadapi kehilangan ini dan kita harapkan pihak berwajib dapat menitikberatkan mengenai prasarana dan persekitaran iaitu aspek keselamatan dalam apa jua situasi.

"Kejadian seumpama ini diharap tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga beradik perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah rumah yang mengalami banjir.

Sementara itu, bapa kepada tiga beradik itu, Mohd Nadzir Mohamed, 67, berkata, ahli keluarganya berterima kasih dan syukur atas kunjungan banyak pihak termasuk isteri pemimpin nombor satu negara.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada semua yang hadir menziarahi dan turut mendoakan yang baik-baik buat ketiga-tiga anak perempuan saya sama ada yang mengenali atau tidak.

Kehadiran banyak pihak dengan memberikan pelbagai bantuan serta sumbangan ini, terus terdetik dalam hati di sebalik ujian ini ada rahmat yang tidak terduga,” katanya. - Bernama