Agrobank tawar moratorium kepada pelanggan terjejas banjir

Agrobank menawarkan moratorium sehingga enam bulan dan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir. - Foto Bernama
Agrobank menawarkan moratorium sehingga enam bulan dan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Agrobank pada Rabu menawarkan moratorium sehingga enam bulan dan penjadualan serta penstrukturan semula pembiayaan kepada pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir.

Kedua-dua inisiatif tersebut terkandung dalam Pelan Bantuan Banjir yang diumumkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Beliau berkata, sebagai institusi kewangan pembangunan (IKP) yang prihatin, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan pelanggannya dilindungi dan dibantu dengan sewajarnya.

"Pelanggan kami adalah keluarga kami dan seluruh kakitangan Agrobank amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran akibat bencana banjir yang melanda kawasan masing-masing,” katanya.



Beliau berkata, Pelan Bantuan Banjir telah dirangka khas untuk membantu pelanggannya membangunkan semula perniagaan sekali gus memberi ruang mengatur semula rancangan perniagaan masing-masing.



"Selain daripada dua tawaran yang dinyatakan, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah disebabkan banjir.

"Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank," katanya menerusi satu kenyataan sempena lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke Ibu Pejabat Agrobank, pada Rabu.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, pelan yang dirangka oleh Agrobank diharap dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir serta memastikan nasib komuniti agropreneur terbela.

"Ini bagi membolehkan pembangunan perniagaan pertanian mereka terjamin sekali gus meningkatkan kemampanan sosioekonomi komuniti pertanian serta membangunkan kestabilan sekuriti makanan negara," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan: