Pahang hulur bantuan RM150,000 untuk mangsa banjir di Terengganu

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan bantuan berupa barangan keperluan asas yang bernilai RM150,000 untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Terengganu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan berupa kit bencana, tikar, selimut, kain batik, kain pelikat dan lampin pakai buang telah dihantar ke Terengganu jam 3 petang pada Rabu.

Menurutnya, proses penghantaran bantuan itu diselaraskan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang.

"Kerajaan Negeri Pahang amat bersimpati dengan nasib rakyat di Terengganu yang sedang berdepan dengan musibah banjir ketika ini.

"Menyedari kesulitan yang dihadapi oleh rakyat negeri jiran kita ini, kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di sana," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, bantuan yang disalurkan itu diharap dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di Terengganu terutamanya yang berada di pusat-pusat pemindahan sementara.

"Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu seramai 40,494 orang melibatkan 11,247 keluarga yang berada di 297 pusat pemindahan sementara.

"Saya berharap semua mangsa banjir dapat bersabar dengan dugaan yang menimpa ini dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berdoa semoga ALLAH SWT melindungi kita semua daripada sebarang musibah dan malapetaka," ujarnya.