Kaedah urus permohonan perniagaan perlu pantas, efisien - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
A
A
A
KUALA LUMPUR - Cara jentera kerajaan dan jabatan menguruskan permohonan perniagaan harus dijalankan dengan lebih pantas, cepat dan efisien, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya dan Ketua Setiausaha Negara akan membantu untuk menyelaraskan semua supaya kepesatan dan kelulusan ini dapat dilakukan dan saya percaya jabatan-jabatan dalam penyelarasan ini dapat membantu,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Ini kerana, katanya, negara kini sudah ada petanda yang sangat positif apabila menerima banyak pertanyaan daripada pengusaha dan pelabur mengenai perniagaan di Malaysia.

"Kita harus memulakan dengan menunjukkan bahawa ada kaedah serta cara kelulusan dan tindakan yang lebih pesat dan berkesan daripada sebelumnya,” kata Anwar.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat kabinet turut membincangkan mengenai situasi kekurangan tenaga kerja di mana Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri telah diminta untuk segera menyelesaikan isu tersebut, terutamanya dalam sektor perladangan, perkhidmatan dan pembinaan.

"Ketiga-tiga (sektor) ini harus diberikan tumpuan kerana kelewatan kelulusan ini telah menyebabkan beberapa pusat pengeluaran terbantut,” katanya. - Bernama