Bantuan darurat RM200,000 di PPS lebih kapasiti di Kelantan

Limpahan air Sungai Golok yang mula memenuhi Jalan Pengkalan Kubor ke Kampung Simpangan di Tumpat ketika tinjauan pada Rabu. - Foto: Bernama
Limpahan air Sungai Golok yang mula memenuhi Jalan Pengkalan Kubor ke Kampung Simpangan di Tumpat ketika tinjauan pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A
KOTA BHARU - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mula mengagihkan bantuan barangan menerusi pembelian darurat berjumlah RM200,000 kepada pusat pemindahan sementara (PPS) terpilih pada Rabu.

Pengarahnya, Said Sidup berkata, bantuan itu diberikan kepada PPS yang mempunyai bilangan mangsa melebihi kapasiti ditetapkan seperti di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.

"Ibu pejabat JKM di Putrajaya telah meluluskan pembelian darurat sebanyak RM200,000 semalam untuk membeli barangan seperti selimut, tikar, tuala dan sebagainya.



"Oleh itu, kita akan mula mengagihkan barangan tersebut hari ini kepada PPS yang mempunyai bilangan jumlah mangsa banjir melebihi kapasiti yang ditetapkan," katanya.

Said berkata, PPS terlibat penuh dan melebihi kapasiti kerana kesukaran untuk berpindah ke PPS berhampiran akibat kekurangan akses.

Selain itu, katanya, terdapat juga mangsa banjir yang tidak mahu berpindah ke PPS lain dengan alasan tidak mahu jauh dari penempatan mereka.

"Apabila perkara sebegini terjadi, kita terpaksa menerima mereka walaupun masih banyak lagi PPS yang digazetkan di negeri masih belum dibuka.

"Selain itu, banjir kali ini berlaku dengan pantas berikutan hujan lebat buruk yang berterusan sehingga menyebabkan kawasan yang selama ini tidak pernah berlaku banjir turut terkesan,"jelasnya.

Beliau berkata, JKM Kelantan mempunyai 442 PPS yang berupaya menampung 170,180 mangsa di negeri itu bagi menghadapi bencana banjir tahun ini.

Setakat pagi Rabu, seramai 31,487 orang daripada 9,055 keluarga berada di 140 PPS di lapan jajahan membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu dan Bachok. - Bernama
Artikel Berkaitan: