Anwar mampu bawa Malaysia jadi ‘Harimau Asia'

SHAH ALAM - Gelaran ‘Harimau Asia’ yang pernah disandang Malaysia pada suatu ketika dijangka mampu dibawa kembali di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Penganalisis Ekonomi Universiti Selangor (Unisel), Profesor Dr Saadiah Mohamad, ia kerana kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu mendapat reaksi positif dari seluruh masyarakat sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.
Ujar beliau, perkara tersebut sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada pelabur luar dalam merancakkan sektor ekonomi negara.
“Saya rasa Anwar ada cerita yang sangat menarik, kita lihat apabila dia dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau mendapat ucapan tahniah yang mencurah-curah, ia sedikit sebanyak dapat menarik perhatian dunia dan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat dunia dan pelabur terhadap negara.