PSTPs kembali sertai PSM

Sumali
Sumali
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Perlis (PSTPs) membuat keputusan keluar daripada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) berkuat kuasa pada Isnin untuk kembali berada di bawah naungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Perkara itu dimaklumkan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan dalam satu sidang akhbar disertai Presiden PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad yang turut memaklumkan perletakan jawatannya sebagai Penolong Setiausaha Agung MASTAF.

"Daripada 18 ahli, sekarang menjadi 19. Kita ada 12 persatuan negeri dan tujuh ahli bersekutu. Sebelum ini ada 16 tak termasuk Perlis tetapi ada dua yang baharu iaitu Majlis Sukan Universiti (Masum) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memohon untuk menjadi ahli bersekutu.

"Ini menjadikan 18 kesemuanya dan apabila Perlis mengumumkan permohonan untuk kembali memasuki PSM, kita ada 19 kesemuanya," katanya dalam sidang akhbar di ibu negara pada Selasa.

Dengan kemasukan semula PSTPs, PSM kini mempunyai 19 ahli gabungan yang merangkumi 12 persatuan sepak takraw negeri dan tujuh ahli bersekutu.

MASTAF pula yang diiktiraf Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF) hanya mempunyai empat ahli gabungan iaitu Selangor, Sarawak, Putrajaya, Labuan.

"PSM sentiasa bermesyuarat, berbincang dan kita mengalu-alukan ahli MASTAF untuk bersama-sama dengan kita. Kita memahami kemelut terkini, jadi demi kebaikan sepak takraw di Malaysia, eloklah kita bersama-sama dalam keluarga PSM.

"Saya fikir, langkah dibuat Syed Azmir sebagai satu langkah yang tepat dan saya faham, dia memikirkan demi kebaikan sepak takraw negara, bukan untuk diri sendiri," jelas Sumali.

Artikel Berkaitan: