'Ciuman terakhir anak bongsu'

Safinah menunjukkan gambar anak bongsunya, Muhammad Izani Mohd Tuah yang terlibat dalam kemalangan maut di Sungai Petani pada awal pagi Selasa.
Safinah menunjukkan gambar anak bongsunya, Muhammad Izani Mohd Tuah yang terlibat dalam kemalangan maut di Sungai Petani pada awal pagi Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang ibu tidak menyangka sikap manja anaknya beberapa hari lalu mencium pipinya menjadi kenangan terakhir selepas mangsa terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 63.5 Jalan Alor Setar -Butterworth, awal pagi Selasa.

Safinah Zakaria, 48 berkata, anaknya Muhammad Izani Mohd Tuah, 15, turut sempat memeluknya sebelum tidur pada malam Sabtu.

Safinah (kiri) gagal menahan sebak semasa ditemui di Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada Selasa.
Safinah (kiri) gagal menahan sebak semasa ditemui di Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada Selasa.

Jelasnya, Muhammad Izani tinggal dengan sepupunya di Taman Semarak kerana bekerja secara sambilan di sebuah kedai makan di kawasan tersebut.

Muhammad Izani adalah salah seorang daripada tiga mangsa yang maut dalam kemalangan jam 2.30 pagi itu bersama dua lagi rakan iaitu Muhammad Aiman Rusdi, 17, dan Mohd Iman Mohd Akhir, 17.

Dua lagi rakannya, Muhammad Zulhakim Zulkhairi, 17, pula parah dirawat di zon merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala Alif Danial Abdul Aziz, 15, cedera ringan.

"Saya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi sepupu arwah yang memberitahu anak saya terlibat dalam kemalangan.

"Ketika kejadian saya berada di Alor Setar kerana ada urusan dan apabila menghubungi telefon bimbit anak, ada individu tidak dikenali menjawab panggilan.

Artikel Berkaitan:

"Dia minta saya datang ke lokasi melihat keadaan anak yang sudah meninggal dunia dan mengalami kecederaan parah di kepala," kata ibu tunggal itu semasa ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSAH, dekat sini pada Selasa.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Aiman, Ahmad Rusdi Abdul Rahman, 50, semasa ditemui berkata, dia reda dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, semasa kejadian dia berada di rumah sebelum menerima panggilan memaklumkan anak kelimanya daripada tujuh beradik itu terlibat dalam kemalangan.

"Saya terus ke tempat kejadian selepas mendapat pangggilan dan selepas sampai di lokasi, saya dimaklumkan anak saya sudah tiada namun saya reda dengan apa yang berlaku," ujar Ahmad Rusdi.

Katanya lagi, Muhammad Aiman dipercayai memandu kereta Honda EG milik abangnya dan memaklumkan mahu ke rumah kakak kedua di Bandar Perdana, dekat sini.

"Dia tidak banyak bercakap dan selepas itu terus keluar bersama rakan-rakannya untuk makan malam," katanya lagi.

Menurutnya, jenazah akan dikebumikan di Tikam Batu selepas selesai urusan bedah siasat.