‘Banjir paling buruk selepas 22 tahun’

Rumah Mariam ditenggelami air susulan hujan lebat melanda kawasan Hulu Besut.
Rumah Mariam ditenggelami air susulan hujan lebat melanda kawasan Hulu Besut.
A
A
A

BESUT - Banjir yang melanda daerah Besut kali ini disifatkan paling buruk selepas 22 tahun dengan sebahagian besar rumah penduduk ditenggelami air selain kerosakan akibat arus kuat.

Paras air tinggi di luar jangkaan menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian besar akibat kemusnahan harta benda serta barang perniagaan yang tidak sempat diselamatkan.

Seorang peniaga, Suraya Abdul Karim, 39, dari Kampung Lepan Kejor, Hulu Besut berkata, banjir tidak pernah sampai ke dalam rumah walaupun kediamannya sering dilimpahi air setiap kali musim tengkujuh.

“Biasanya air setakat tangga saja, tapi kali ini masuk ke rumah hingga paras betis. Situasi ini mengulangi sejarah banjir yang berlaku pada tahun 2000,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Menurut Suraya, dia sempat mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi dan mengemas barang-barang penting sebelum rumahnya mula dinaiki air sekitar jam 11 pagi Ahad hingga mencecah kira-kira 1.5 meter.

“Air kemudian semakin naik dan memikirkan keselamatan kami seramai 13 orang termasuk lima kanak-kanak dengan dua darinya baru bersunat, saya hubungi pasukan penyelamat untuk berpindah sekitar jam 9 malam.

“Jam 3 pagi, air mula masuk ke dalam rumah. Saya hubungi pasukan penyelamat sekali lagi, namun dimaklumkan tidak cukup anggota kerana banyak rumah tenggelam dengan ada hingga ke paras dada.

“Ketika itu baru kami sedar keadaan banjir di Besut teruk dan semasa banjir 22 tahun lalu, air di dalam rumah saya juga paras betis,” katanya yang sempat menyediakan bekalan makanan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Guru Tabika, Mariam Mustafa, 55, berkata, dia bersama suami dan dua anak terpaksa menaiki perahu berpindah ke tempat selamat dengan bantuan jiran selepas air melimpah masuk ke dalam rumah sekitar 6 pagi.

Menurutnya yang tinggal di Kampung Gong Duek, dia tidak menyangka bencana kali ini memberi impak yang besar kerana kali terakhir rumahnya dimasuki air adalah ketika banjir pada tahun 2000.

“Rumah memang biasa banjir tapi tidak sampai melimpah ke dalam rumah, apa pun saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya yang mula membersihkan rumah dipenuhi lumpur selepas air surut pada jam 7 malam Isnin.

Sehingga jam 12 tengah hari Selasa, seramai 9,378 penduduk dari 2,488 keluarga terjejas banjir di Besut sudah dipindahkan ke 96 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah itu sejak beberapa hari lalu.