Nelayan dikhuatiri hilang

Misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan oleh Maritim Malaysia dibantu Pasukan Polis Marin serta beberapa bot nelayan tempatan. - Foto Maritim
Misi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan oleh Maritim Malaysia dibantu Pasukan Polis Marin serta beberapa bot nelayan tempatan. - Foto Maritim
A
A
A

LANGKAWI - Seorang nelayan tempatan dikhuatiri hilang selepas keluar ke laut dari Kuala Sanglang, Perlis menuju ke Selat Bagan Nyior untuk menangkap ikan pada petang Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan berkenaan kehilangan tekong bot nelayan itu yang dikenali Zaizali Harun, 61.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan dengan menggerakkan bot Perkasa 1228 dan bot Perkasa 1224 sejurus menerima maklumat daripada anak mangsa, Rokie Zaizali.

"Anak mangsa memaklumkan nelayan terbabit tidak pulang selepas keluar ke laut pada jam 4.30 petang semalam dan dipercayai bot yang dinaikinya mengalami kerosakan.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan selain dibantu agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), serta beberapa bot nelayan tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Romli berkata, Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB).

Menurutnya, Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan: