Tumpuan pencarian diteruskan di sektor C, sungai

Hafisham
Hafisham
A
A
A

BATANG KALI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kelima di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting diteruskan kepada sektor C dan kawasan aliran sungai.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, seramai 28 anggota bomba dan tentera (pasukan sweaper) ditugaskan untuk meneruskan pencarian di kiri dan kanan tapak runtuhan dan Sungai Kedondong.

"Untuk sweaper hari ini kita pecahkan kepada dua pasukan untuk meneruskan pencarian sejauh tiga hingga empat kilometer termasuk kawasan sungai," katanya pada sidang akhbar di sini pada pagi Selasa.

Difahamkan, seramai 115 anggota penyelamat terlibat dalam SAR pada Selasa.

Jelasnya, langkah itu perlu kerana berkemungkinan mangsa dihanyutkan atau di kawasan luar dari sektor yang telah ditandakan.

Setakat semalam, pasukan sweaper tidak menemui sebarang tanda yang boleh membawa kepada penemuan mangsa namun pencarian digiatkan lagi hari ini.

"Manakala operasi pencarian di sektor c dan ke atas akan menggunakan eskavator, kaedah penggalian dan unit anjing pengesan (K9)," katanya.

Tambahnya, pihaknya turut mengakui faktor tanah yang lembik dan berlecak menyukarkan operasi namun ianya tetap diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu, seramai seramai 91 mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan yang terdiri daripada pengunjung dan pekerja tapak perkhemahan

Setakat ini, seramai 24 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan sembilan lagi individu dipercayai masih hilang, manakala 61 individu terselamat.