Undi percaya selesai, tumpu usaha bangunkan negara - TPM

Ahmad Zahid menandatangani watikah pelantikan selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ahmad Zahid menandatangani watikah pelantikan selepas mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kelulusan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan manifestasi bagi semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang untuk bergerak ke hadapan serta memberi seluruh tumpuan membangunkan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lunas demokrasi menyaksikan rakyat melalui wakil rakyat mereka di Dewan Rakyat telah memberikan mandat yang jelas kepada Kerajaan Perpaduan Malaysia apabila usul undi percaya diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Menurutnya, ia sudah jelas lagi tuntas akan keabsahan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

"Rakyat hari ini mendambakan kerajaan yang bekerja dan berfungsi untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.

"Oleh itu, pastinya isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat akan menjadi fokus utama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ini," jelasnya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, pelbagai cabaran dalam urusan ekonomi dan kewangan negara pada tahun mendatang memerlukan sokongan semua pihak dalam memastikan kelangsungan kehidupan rakyat.

"Perancangan dan pelaksanaan dasar serta polisi yang mampan akan menghasilkan sebuah negara lebih maju dan sejahtera.

"Justeru, kestabilan politik amat penting agar rakyat Malaysia dapat bersama sederap bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan untuk membina negara ke arah yang lebih baik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun atas perkhidmatan beliau selama ini.

“Tahniah juga atas pemilihan dan selamat bertugas buat Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Johari Abdul serta timbalan-timbalan beliau.

“Gunakan landasan ini bagi menjayakan bersama agenda pengukuhan institusi Parlimen dengan sebaiknya,” katanya.