Banjir: Penduduk ambil langkah berjaga-jaga

A
A
A

TAMPIN - Penduduk di Taman Pinggiran Felda Sungai Kelamah di sini mengambil pendekatan berjaga-jaga susulan dikhuatiri berlaku banjir seperti hujung tahun lepas berulang.

Bekas pengerusi taman, Shamsuddin Omar, 60 berkata, beliau telah membina sebuah loteng bagi menyimpan barang berkaitan susulan tidak mampu lagi membeli baru barangan berkenaan.

"Loteng ini saya bina pada tahun lepas tetapi tidak sempat digunakan sebab kejadian itu (banjir) terlalu pantas.

"Jadi tahun ini tiada perabot baharu kami beli, hanya ada barang asas sahaja termasuklah televisyen. Sofa atau kusyen dan almari perhiasan memang tak ada. Minima sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui dikediamannya pada Isnin.

Pak Abu menunjukkan barang yang telah disimpan di loteng rumahnya.
Pak Abu menunjukkan barang yang telah disimpan di loteng rumahnya.

Shamsuddin yang mesra dipanggil Pak Abu berkata, bagaimanapun mengakui sedikit lega apabila siren amaran banjir di kawasan taman itu telah dipasang semula oleh kerajaan selepas siren amaran sebelum ini tidak berfungsi.

"Kalau ikutkan banjir sebelum ini paras air paling tinggi boleh mencecah dua meter, kalau pemandangan dari atas itu nampak bumbung sahajalah. Kita syorkan pihak bertanggungjawab supaya dapat menaik taraf ban sedia ada di taman ini sekurang-kurangnya dapat elak banjir," katanya.

Seorang lagi penduduk, Sadiah Abd Ghani, 54 berkata, senada dengan Pak Abu yang sentiasa berjaga-jaga malah perabot dalam rumahnya juga minima sahaja namun tidak menafikan masih truma akan kejadian banjir.

Artikel Berkaitan:

"Kalau hujan dah dua hari tidak henti, mulalah perasaan takut dan bimbang itu muncul selain perlu bersedia untuk berpindah," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Mohamad, 60 berkata, kebanyakkan barang dalam rumahnya telah disimpan di loteng rumah.

Pak Abu menunjukkan barang yang telah disimpan di loteng rumahnya.
Pak Abu menunjukkan barang yang telah disimpan di loteng rumahnya.

"Sejak kebelakangan ini ada penduduk yang menyewa di sini sudah berpindah ke tempat lain berbeza dengan saya, ini rumah pertama saya. Bagaimanapun besar harapan saya supaya masalah banjir ini dapat diatasi sebaiknya oleh pihak yang bertanggungjawab kerana saya yakin mereka juga sedang usahakan yang terbaik," katanya.

Sinar Harian pada 2 Januari lalu melaporkan, 90 peratus penduduk disitu terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi kerana air naik terlalu pantas memasuki kediaman mereka.

Dalam kejadian itu kawasan perumahan itu paling terjejas dan siren amaran banjir yang dipasang di taman itu didakwa tidak berfungsi sehingga memaksa mereka berpindah sehelai sepinggang.