Twitter larang pengguna kongsi pautan ke media sosial pesaing

Twitter mengumumkan bahawa syarikat itu tidak lagi membenarkan promosi percuma platform media sosial tertentu.
Twitter mengumumkan bahawa syarikat itu tidak lagi membenarkan promosi percuma platform media sosial tertentu.
A
A
A

SAN FRANCISCO - Twitter mengumumkan pada Ahad bahawa ia sekali lagi mengubah terma perkhidmatan (TOS) sejak syarikat media sosial yang berpangkalan di San Franciso, Amerika syarikat (AS) itu diambil alih oleh pemilik baharu, Elon Musk.

Dalam peraturan baharunya, pengguna tidak lagi dibenarkan memuat naik pautan ke laman media sosial pesaing seperti Facebook, Instagram, Mastodon, Truth Social, Tribel, Post dan Nostr.

Malah, pautan ke laman agregat media sosial seperti linktr.ee dan lnk.bio turut tidak dibenarkan.

Kami akan memadam sebarang promosi percuma platform media sosial pihak ketiga yang dilarang seperti menghantar ciapan pautan ke akaun media sosial lain dalam bentuk URL atau nama akaun," jelas Twitter dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pengguna akan dihalang daripada berkongsi ciapan seperti "Ikuti saya @nama pengguna di Instagram".

Tegas Twitter, pengguna yang melanggar peraturan itu buat kali pertama akan diminta memadam ciapan berkenaan.

Malah, akaun pengguna juga boleh dikunci jika pautan diletakkan pada bio peribadi.

"Sekiranya kesalahan berulang beberapa kali, akaun akan di gantung selama-lamanya," tambah Twitter.

Artikel Berkaitan:

Peralihan mendadak dalam peraturan adalah yang terbaharu dalam siri perubahan kontroversi yang dibuat oleh Musk sejak beliau mengambil alih syarikat itu pada Oktober lalu.

Perubahan TOS terkini itu dianggap tidak masuk akal kerana sudah menjadi kelaziman pengguna Twitter turut mempunyai laman media sosial lain. - AFP