Bimbang banjir besar di Kelantan berulang

Keadaan rumah penduduk di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh yang mulai dilanda banjir sejak Ahad.
Keadaan rumah penduduk di Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh yang mulai dilanda banjir sejak Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Penduduk di Kampung Bukit Abal di sini menyifatkan banjir kali ini seakan-akan seperti mana yang pernah berlaku pada tahun 2014.

Penduduk, Zaitun Mohd Noor, 57, berkata, walaupun sudah lapan tahun berlalu namun trauma tersebut masih dirasai.

"Melihat keadaan banjir kali ini, air naik cepat dan dalam saya terus berpindah ke rumah jiran yang lebih selamat.

"Perasaan takut itu kembali kerana pada 2014, beginilah keadaannya, hujan lebat tidak henti dan air naik terlalu cepat," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, disebabkan tinggal seorang diri kerana anak-anak berjauhan dia bertindak lebih cepat tanpa menunggu air melimpah ke dalam rumah.

Ujarnya, bukan tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tetapi dia memilih untuk melihat dahulu situasi.

Bagi Mohd Azmi Abdul Wahab, 58, pula, banjir kali ini luar biasa kerana kawasan kediamannya belum pernah dinaiki air turut terjejas.

Artikel Berkaitan:

Zaitun (kanan) dan Azilawani (kiri) bersama jiran tetangga mereka melihat situasi banjir sebelum berpindah ke PPS berhampiran.
Zaitun (kanan) dan Azilawani (kiri) bersama jiran tetangga mereka melihat situasi banjir sebelum berpindah ke PPS berhampiran.

"Saya terkejut apabila melihat air melimpah sehingga ke dalam kereta. Sebelum ini tidak pernah berlaku.

"Lebih mengejutkan lagi jiran tetangga juga terpaksa berpindah ke masjid terdekat kerana rumah mereka mulai tenggelam," katanya.

Sementara itu, Azilawani Zawawi 46, berkata, sebelum ini air tidak pernah melimpah sehingga ke tangga rumahnya, tetapi kali ini berbeza.

"Sudah tiga hari cuaca buruk, jika ia berterusan tidak mustahil banjir 2014 akan berulang sekali lagi," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di Bukit Abal mendapati kebanyakan penduduk berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Ada di antara mereka memilih menumpang di masjid berhampiran rumah saudara-mara dan jiran.

Pasir Puteh merupakan jajahan kedua tertinggi mangsa banjir di Kelantan iaitu 1,070 orang.