Guan Eng kongsi gambar duduk sebaris ahli Parlimen BN

Guan Eng (tengah) bersama Mohd Shafie Afdal, Ismail Sabri dan Wan Azizah.
Guan Eng (tengah) bersama Mohd Shafie Afdal, Ismail Sabri dan Wan Azizah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penubuhan Kerajaan Perpaduan sememangnya memberi warna-warni baharu dalam landskap politik negara apabila menyaksikan gabungan politik yang dahulunya menjadi seteru utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini bertukar menjadi ‘rakan’ baharu.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirai pada Isnin turut menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat di blok kerajaan teruja dengan suasana politik baharu itu apabila masing-masing tidak melepaskan peluang memuat naik gambar di media sosial.

Tidak terkecuali, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, turut berkongsi hantaran gambarnya duduk bersebelahan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera

Berdasarkan gambar yang dikongsi Guan Eng itu, tempat duduk Ismail Sabri berada di tengah-tengah antara dirinya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Gambar yang dikongsi Guan Eng di Facebooknya pada Isnin.
Gambar yang dikongsi Guan Eng di Facebooknya pada Isnin.

Menerusi satu lagi gambar yang dikongsikan Guan Eng, barisan belakang tempat duduknya pula menempatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, manakala sebelahnya pula Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Guan Eng dalam hantarannya memaklumkan mengenai kedudukannya di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan selamat bersidang kepada rakan-rakan baharu dan lama yang telah dipilih oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan banyak kejutan berlaku dalam arena politik tanah air sehingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

Persidangan hari pertama pada Isnin juga turut melakar sejarah tersendiri apabila kedudukan ahli Dewan Rakyat daripada PH dan BN kini berada sebaris dalam satu blok.

Selain PH dan BN, Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dianggotai tiga lagi gabungan lain iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).