Mohammad Zahir dilantik semula Speaker DUN Perak

Mohammad Zahir (atas) dilantik semula sebagai Speaker DUN Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Mohammad Zahir (atas) dilantik semula sebagai Speaker DUN Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15, di sini pada Isnin.

Pencalonan Mohamad Zahir sebagai Speaker dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) yang kemudian disokong oleh A Sivanesan (PH-Sungkai) pada persidangan DUN Perak hari ini.

Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah kemudiannya mengisytiharkan Mohammad Zahir sebagai Speaker DUN Perak selepas tidak ada calon lain yang dikemukakan.

Sementara itu, Jenny Choi Tsi Jen (PH-Canning) dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Perak setelah menjadi calon tunggal untuk jawatan tersebut.

Pencalonannya dikemukakan Mohammad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat) dan disokong Salbiah Mohamed (BN-Temengor).

Saarani mengetuai upacara angkat sumpah ADUN Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Saarani mengetuai upacara angkat sumpah ADUN Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di sini pada Isnin. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak

Pada Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah dimulai dengan Saarani yang merupakan ADUN Kota Tampan diikuti semua wakil rakyat kerajaan serta pembangkang di hadapan Mohammad Zahir.

Pada 12 Mei 2020, Mohammad Zahir dipilih sebagai Speaker DUN Perak menggantikan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zahir, 52, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang daripada Universiti Leeds, England dan memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum berkhidmat sebagai Perancang Korporat di MARA Holdings.

Selepas terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting mewakili Barisan Nasional (BN) pada 2008, Mohamad Zahir dilantik sebagai Exco dari 2009 sehingga 2018.