Tanah runtuh: SKMM, penyedia pantau kualiti perkhidmatan

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Kenyataan media SKMM pada Isnin
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Kenyataan media SKMM pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia perkhidmatan akan terus memantau kualiti perkhidmatan lokasi berada di tahap terbaik bagi pasukan misi mencari dan menyelamat (SAR) kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan berkata, selain itu ia juga bagi memastikan maklumat dan berita terkini dapat disampaikan oleh pengamal-pengamal media kepada orang ramai dalam kadar segera.

"Pihak SKMM cakna saranan oleh Yang Berhormat Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil) berkaitan prosedur operasi standard (SOP) akses telekomunikasi di kawasan bencana.

"SKMM akan meneliti bersama pemegang taruh untuk memperkemaskan lagi SOP sedia ada," katanya pada Isnin.

Dilaporkan, kesukaran mendapatkan akses capaian internet menjadi cabaran utama kepada pengamal media yang membuat liputan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Batang Kali.

Fahmi kemudiannya meminta SKMM serta syarikat telekomunikasi agar segera mewujudkan SOP akses telekomunikasi di kawasan bencana.

Beliau juga menyatakan akan berbincang dengan SKMM dan penyedia rangkaian mudah alih bagi menyegerakan SOP itu terutama apabila wujud keperluan khusus untuk operasi SAR.

Jelas SKMM, seawal jam 3 pagi pada 17 Disember, kemudahan komunikasi telah disediakan di tapak bencana di mana semua penyedia perkhidmatan terlibat berjaya memberikan perkhidmatan masing-masing melalui 'coverage on wheels' (COW) dalam memberikan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada misi SAR dan pengamal-pengamal media di tapak bencana.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan SKMM mendapati kesemua penyedia perkhidmatan telah berjaya mencapai kualiti liputan selular yang amat baik melebihi 50Mbps.

"Selain itu, pihak Telekom Malaysia (TM) juga telah menyediakan perkhidmatan Unifi wifi percuma berkelajuan 800Mbps di khemah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) operasi SAR.

"Satu access point sama juga telah diletakkan di trak Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) selaku penyelaras kepada pengamal-pengamal media," ujarnya.