Budak dua tahun korban pertama banjir di Terengganu

Lokasi kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan lemas di Kampung Apal, Besut, pada petang Ahad. - Foto Ihsan PDRM
Lokasi kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan lemas di Kampung Apal, Besut, pada petang Ahad. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

BESUT – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan lemas berhampiran rumah ibu saudaranya di Kampung Apal, Jerteh, Besut, di sini, pada Ahad.

Mangsa, Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan ditemukan terapung di kawasan parit oleh ahli keluarganya kira-kira jam 3.40 petang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ketika kejadian, mangsa berada di rumah ibu saudaranya yang ketika itu dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

"Sebelum kejadian, ibu saudara mangsa sedang berkemas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 3 petang.

"Kehilangan mangsa hanya disedari kira-kira 40 minit kemudian susulan penemuan mayat mangsa terapung di dalam parit yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah ibu saudaranya," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Ahad.

Menurut Rohaimi, ibu saudara mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu keluar melalui pintu dapur dan mangsa dipercayai terjatuh sebelum dihanyutkan arus banjir.

Beliau memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Rohaimi mengingatkan supaya semua pihak lebih berwaspada dan menitikberatkan aspek keselamatan sepanjang Monsun Timur Laut.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai khususnya ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya lebih peka terhadap keselamatan anak-anak mereka pada musim tengkujuh ini,” ujar beliau.