Putin bincang strategi baharu perang Ukraine

Keadaan sekitar ibu kota Kiev yang terputus bekalan elektrik pada Sabtu. (Gambar kecil: Putin) - Foto AFP
Keadaan sekitar ibu kota Kiev yang terputus bekalan elektrik pada Sabtu. (Gambar kecil: Putin) - Foto AFP
A
A
A

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan mesyuarat ekstensif bersama pegawai tertinggi tentera yang menyelia operasi ketenteraan di Ukraine setelah Moscow semakin memperhebatkan kempen pengeboman di Kiev sejak beberapa minggu lalu.

Kremlin pada Sabtu mengesahkan Putin bertemu dengan Menteri Pertahanan, Sergei Shoigu dan Ketua Turus Am, Valery Gerasimov serta mengadakan perbincangan secara berasingan dengan komander daripada pelbagai cawangan.

Saya mahu mendengar cadangan tentang tindakan untuk jangka pendek dan sederhana,” ujar Putin seakan-akan memberi bayangan kempen pencerobohan ke atas Kiev tidak akan berakhir dalam tempoh terdekat.

Pada Jumaat, Moscow sekali lagi melancarkan serangan udara bertalu-talu ke atas beberapa bandar di Ukraine hingga menyebabkan jutaan penduduk kembali bergelap dan terdedah kepada suhu sejuk melampau.

Setelah berdepan siri kekalahan memalukan, Rusia bermula Oktober lalu bertindak menggunakan taktik baharu menyasarkan grid kuasa utama bertujuan untuk melumpuhkan Ukraine.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memaklumkan bekalan kuasa elektrik telah dipulihkan semula kepada hampir enam juta penduduk walaupun sebahagian besar wilayah masih bergelap dan terpaksa menahan kesejukan. - AFP

Artikel Berkaitan: