Tragedi Batang Kali: Hilang 4 ahli keluarga sekelip mata

Su Li (tengah) ketika hadir di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Ahad.
Su Li (tengah) ketika hadir di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita tidak dapat menahan hiba setelah empat ahli keluarganya disahkan terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali.

Dalam kejadian itu, Beh Su Lee, 59, kehilangan anak perempuannya berusia 35 tahun, menantu 34 tahun serta dua cucu yang berusia satu dan enam tahun.

Menurutnya, pengecaman mayat ke atas tiga mangsa dilakukan pada Sabtu, manakala seorang lagi pada Ahad.

“Semua empat, tiga (dibuat pengecaman) semalam hari ini satu,” katanya sambil menangis ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini pada Ahad.

Keempat-empat mangsa tanah runtuh itu dilihat meninggalkan HSB menaiki dua kenderaan Pusat Peringatan Nirvana pada jam 1.22 tengah hari.

Sebuah kenderaan membawa pasangan suami dan isteri, sementara sebuah lagi kenderaan membawa kedua-dua anak mereka.

Dengan perkembangan ini, 21 daripada 24 mayat yang ditempatkan di HSB sudah dituntut sehingga jam 2 petang.

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Jalan Genting - Batang Kali.

Artikel Berkaitan:

Setakat semalam, sembilan mangsa masih hilang manakala 24 lagi disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terbabit dalam tragedi itu.