2 mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar diselamatkan

Chon Siang (empat dari kiri) bersama dua remaja yang menjadi mangsa sindiket tawaran kerja di Myanmar berjaya diselamatkan di Thailand.
Chon Siang (empat dari kiri) bersama dua remaja yang menjadi mangsa sindiket tawaran kerja di Myanmar berjaya diselamatkan di Thailand.
A
A
A

KUANTAN - Dua remaja rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myanmar berjaya diselamatkan.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, mereka adalah mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar yang didakwa telah didera mental dan fizikal, diugut serta tidak diberikan makanan ketika berada di negara itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa itu masing berusia 19 dan 21 tahun serta berasal dari Parit Raja, Johor.

Mereka berdua berjaya melarikan diri daripada sindiket terbabit dan diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Thailand Security Liason Officer serta seorang individu iaitu Victor Wong.

"Saya telah mengambil kedua-dua mangsa ini di daerah Maesot yang terletak di sempadan Thailand-Myammar dan membawa mereka ke Bangkok untuk urusan dokumentasi.

"Kemungkinan saya dan kedua-dua mangsa dijadualkan akan kembali ke tanah air pada Selasa ini dan semoga semua urusan yang sedang dilakukan dipermudahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian melalui aplikasi WhatsApp pada Ahad.

Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum tiba di Measot, Thailand pada Jumaat lalu bagi misi menyelamat.

Beliau memaklumkan Victor Wong adalah seorang individu yang banyak membantu dalam urusan menyelamat mangsa-mangsa pemerdagangan manusia di sini.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Chon Siang mengingatkan orang ramai khususnya pencari kerja supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang menawarkan gaji lumayan di luar negara.

Tambahnya, sehingga kini lebih 1,000 rakyat Malaysia dikatakan menjadi mangsa pemerdagangan di sindiket penipuan di luar negara.

"Nasihat saya, jangan terlalu cepat percaya pada tawaran pekerjaan luar negara yang menjanjikan gaji lumayan," jelas beliau lagi.

Habis#