Muhammad Aiman penyeri keluarga akhirnya terlantar

Siti Noor Mastubaidura (kanan) membancuh susu yang diletakkan di dalam beg khas sebelum diminum melalui tiub Muhammad Aiman yang terlantar.
Siti Noor Mastubaidura (kanan) membancuh susu yang diletakkan di dalam beg khas sebelum diminum melalui tiub Muhammad Aiman yang terlantar.
A
A
A

PASIR MAS - Tujuh tahun menjadi penyeri buat keluarga, seorang kanak-kanak hiperaktif kini lemah bahkan terlantar dengan hanya mampu meminum susu menggunakan tiub yang dipasang melalui hidung sejak setahun lalu.

Suri rumah, Siti Noor Mastubaidura Ariffin, 32, menceritakan kisah sedih anak tunggalnya itu, Muhammad Aiman Mohamed, 8, yang disahkan lumpuh seumur hidup selepas mengalami sawan sebanyak empat kali berturut-turut pada Oktober tahun lalu.

Katanya, Muhammad Aiman yang menghidap penyakit bengkak otak dan paru-paru kronik sejak lahir itu secara tiba-tiba diserang sawan ketika sedang bermain di dalam rumah mereka namun pulih selepas itu.

“Selama tujuh tahun dia membesar seperti kanak-kanak lain malah terlebih aktif. Dia juga menjadi ketua kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Kelantan di Lati.

“Dia kena sawan kali pertama pada Oktober, selang dua minggu kemudian, dia diserang sawan kali kedua sehingga kali keempat berserta demam panas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Repek Perdana, Kampung Kenjing pada Sabtu.

Siti Noor Mastubaidura berkata, Muhammad Aiman dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan ditidurkan selama 18 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana keadaan kritikan mulut berdarah akibat tergigit.

“Selepas sedar, dia dimasukkan ke wad biasa namun disahkan lumpuh seumur hidup. Berat badannya susut sebanyak 10 kilogram (kg) daripada 41 sebelum ini kepada 31 kg sekarang.

“Dia penggemar nasi lemak. Dulu, kalau makan, mesti dua bungkus,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Wanita itu berkata, kos penjagaan Muhammad Aiman melebihi RM2,000 sebulan termasuk perubatan, susu khas dan lampin pakai buang hingga memaksanya meminjam wang daripada rakan serta saudara-mara jika kesempitan.

“Suami saya hanya kerja buruh dengan pendapatan tidak tetap sebanyak RM1,200 sebulan.

“Saya pula terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai runcit sejak setahun lalu kerana perlu menjaga Muhammad Aiman sepenuh masa,” katanya.

Siti Noor Mastubaidura (kanan) dan Norhayati (kiri) sentiasa berada bersama Muhammad Aiman (tengah).
Siti Noor Mastubaidura (kanan) dan Norhayati (kiri) sentiasa berada bersama Muhammad Aiman (tengah).

Dia yang menghidap penyakit kencing manis turut menjaga ibunya, Norhayati Amat, 54, yang juga pesakit darah tinggi dan tinggal bersama di rumah sewanya dengan bayaran RM500 sebulan.

“Permohonan kami untuk mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dimaklumkan masih dalam proses.

“Walaupun terlalu payah kerana tidak cukup duit, saya tetap akan menjaga dan memberi kasih sayang sepenuh hati kepada dia. Allah pilih anak saya sakit begini, saya reda,” luahnya pilu.

Bagi yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Siti Noor Mastubaidura Ariffin, CIMB Bank 7611250994 atau hubungi di talian 0148324920.