Jersi Argentina, Perancis habis terjual

Tinjauan di sebuah kedai peralatan sukan mendapati hanya tinggal poster gambar Lionel Messi memperaga baju jersi Argentina dan baju latihan pasukan.
Tinjauan di sebuah kedai peralatan sukan mendapati hanya tinggal poster gambar Lionel Messi memperaga baju jersi Argentina dan baju latihan pasukan.
A
A
A

SHAH ALAM - Jualan jersi pasukan Argentina dan Perancis mendapat permintaan tinggi sehingga habis terjual apabila kedua-dua negara itu bakal berentap dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2022 malam ini.

Tinjauan Sinar Ahad di beberapa kedai kelengkapan sukan di pusat beli-belah Sunway Pyramid di Bandar Sunway, Petaling Jaya mendapati, jersi pasukan gergasi berkenaan ‘licin’ dan kehabisan stok memandangkan permintaan dalam kalangan penyokong disifatkan luar biasa.

Malah, kehangatan dan aura final Piala Dunia 2022 tambah dirasai apabila restoran khususnya kedai mamak turut membuat persediaan dengan pemasangan skrin layar besar bagi menyemarakkan lagi suasana perlawanan.

Ikmal Daud
Ikmal Daud

Penolong Pengurus Football Republic, Ikmal Daud, 20, memberitahu, jersi Argentina dan Perancis tersangat laris malah habis dijual sejak dua minggu lalu.

“Sebelum berlangsung Piala Dunia, orang dah mula beli, stok yang kami ada untuk jersi Perancis dan Argentina berjenama Nike masing-masing sebanyak 150 helai, berharga RM299 sehelai.

“Bagi jenama Adidas, stok jersi Argentina sebanyak 400 helai, berharga RM549 sehelai. Bukan sahaja baju, botol air dan bola mini turut habis dijual,” ujarnya.

Amin
Amin

Artikel Berkaitan:

Pekerja kedai peralatan sukan Adidas, Amin Mohd Sanusi, 26, berkata, penyokong Argentina dilihat begitu fanatik terhadap pasukan berkenaan dan ia terbukti apabila kesemua jersi habis terjual sejak tiga minggu lalu.

“Jersi Argentina laku ‘keras’. Tetapi untuk jersi Perancis memang tak ada keluaran Adidas.

Baju kit kedua pasukan Argentina hanya tinggal sehelai bersaiz XS di Kedai Football Republic, Sunway Pyramid.
Baju kit kedua pasukan Argentina hanya tinggal sehelai bersaiz XS di Kedai Football Republic, Sunway Pyramid.

“Yang tinggal hanya baju latihan pasukan, baju rasmi Argentina sudah habis dijual,” ujarnya.

Menurut Penyelia JD sports, Muhd Amirul Hidayat Kamal Afandi, 28, meskipun harga jersi melebihi RM250 ke atas, peminat bola sepak tetap membeli demi memberi sokongan jitu kepada pasukan masing-masing.

“Setakat ini, jersi Argentina memang laku dan cepat habis. Sekarang pun, masih ada yang datang bertanya. Begitu juga jersi Perancis, kedua-duanya habis dijual dua minggu lepas,” jelasnya.

Pekerja kedai peralatan sukan Al Ikhsan, Nur Iman Mohd Nuzolul, 21, pula menyifatkan permintaan tinggi untuk kedua-dua jersi tersebut apabila stok kedua turut habis dijual.

“Meskipun kita sudah menambah stok jersi Perancis sebanyak 20 helai pada minggu lalu, ia cukup laris dan orang ramai masih mencari. Namun, bagi sesiapa yang masih mencari jersi Perancis, mereka boleh mendapatkannya melalui pembelian dalam talian di laman sesawang Al-Ikhsan,” ujarnya.

Menurut kakitangan Sport Direct, Mohd Uzair Isidro, 24, jersi Argentina dan Perancis semakin laris selepas kedua-dua pasukan itu layak ke pusingan akhir.

“Jersi Argentina dan Perancis sudah habis dijual ketika waktu pilihan kumpulan lagi, sekarang ini yang tinggal jersi kanak-kanak sahaja,” katanya.