Jantina bukan halangan terbang tinggi
ALOR SETAR - Status sebagai wanita tidak sedikit pun mematahkan impian Leftenan Ilyana Ibrahim, 26, untuk terbang tinggi sebagai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Ilyana berasal Johor Bahru, Johor itu antara 30 pelatih kursus asas penerbangan pesawat kaku dan penerbangan helikopter yang menerima sayap penerbangan di Kolej Tentera Udara di sini pada Sabtu.
Ilyana yang merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik memberitahu, dia enggan menjadikan jantinanya sebagai wanita sebagai halangan untuk menjadi juruterbang.
"Mungkin dari segi fizikal, saya agak susah untuk bersaing dengan pelatih lelaki yang mengikuti kursus asas penerbangan ini, namun saya banyak mendengar kata-kata orang bahawa wanita berkemampuan membawa pesawat lebih baik dari lelaki.
"Apabila masuk ke dalam pesawat, saya bukan lagi seorang wanita tetapi tentera udara setanding lelaki dan bersyukur berjaya mencapai jumlah waktu penerbangan ditetapkan," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Upacara Perbarisan Penyampaian Sayap bagi Kursus Asas Penerbangan Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 63/21.
Anak kepada pasangan Ibrahim Md Jais, 59, dan Anita Hassan, 56, ini memberitahu, dia sememangnya mengimpikan kerjaya juruterbang sejak dari kecil.
"Antara inspirasi, saya kagum apabila Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi angkasawan pertama Malaysia yang menaiki roket ke angkasa.
"Dari situ, saya mula meminati perkara-perkara berkaitan aeroangkasa dan langit. Jadi apabila melihat kapal terbang di langit mendorong minat saya menjadi juruterbang. Alhamdulillah, saya akhirnya dapat realisasikan cita-cita ini," katanya.
Menurut graduan Kejuruteraan Mekanikal Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu, dia merasakan menyertai TUDM adalah jalan terbaik untuk merealisasikan impian sejak usia kanak-kanaknya.
"Jikalau saya menjadi juruterbang pesawat komersial, saya hanya dapat menerbangkan pesawat dari satu lokasi ke satu lokasi saja, namun boleh belajar melakukan pelbagai perkara sebagai juruterbang TUDM," katanya.
Sementara itu, graduan UPNM, Leftenan Mubin Mustaza Iskandar, 26, berkata, dia tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Udara (Pelatih Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku) dan juga penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Terbaik Akademik).
Menurut anak bongsu dari tiga adik beradik ini, seimbangkan antara akademik dan agama sekali gus menjaga amalan solat menjadi kunci kejayaan dirinya meraih dua piala dan menjadi juruterbang TUDM.
"Alhamdulillah, saya berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan sejak kecil dengan melakukan semua perkara dengan terbaik walaupun berdepan cabaran dari segi pengurusan masa," katanya.
Menurut Mubin, dia telah belajar menerbangkan pesawat PC-7 Mk II dan berharap dapat membawa pesawat Shukoi pula suatu hari nanti.