[VIDEO] KPM tawar sokongan psikososial kepada waris mangsa tanah runtuh

Fadhlina (kiri) ketika ditemui pemberita selepas melawat waris mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Sabtu.
Fadhlina (kiri) ketika ditemui pemberita selepas melawat waris mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan sokongan psikososial kepada waris mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali - Gohtong Jaya pada awal pagi Jumaat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian menyediakan tiga kaunselor bertugas untuk setiap tiga syif.

“Alhamdulillah kita juga mendapat sokongan daripada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya bahagian kesihatan mental dan psikososial.

“Sokongan ini kita akan teruskan sehingga selesai,” katanya kepada pemberita selepas melawat waris mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Sabtu.

Dilaporkan seramai 21 mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali disahkan meninggal dunia setakat jam 7.10 malam pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini seramai 12 mangsa belum ditemui.

Dalam pada itu, Fadhlina juga ditanya mengenai senarai guru yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.

“Itu bukan bahagian kita. Proses itu akan disahkan oleh pihak polis nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu meminta semua pihak memberi ruang kepada waris mangsa untuk bertenang.

“Ketika ini proses (mereka) melaluinya sangat sukar (dan) kita kena beri ruang kepada mereka. Saya minta itu sahaja.

“Ruang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat yang tepat, ini sangat penting. Dan kemudiannya bagi ruang kepada mereka untuk mendapatkan sokongan psikososial,” ujarnya.