KPDN, pasar raya beri bantuan makanan kepada mangsa, petugas

KPDN dengan kerja sama beberapa pasar raya memberi bantuan makanan kepada mangsa dan petugas di kawasan tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat. - Foto Bernama
KPDN dengan kerja sama beberapa pasar raya memberi bantuan makanan kepada mangsa dan petugas di kawasan tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghantar bantuan makanan kepada petugas misi menyelamat serta mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, bantuan itu dihantar dengan kerjasama beberapa pasar raya.

"Bantuan telah dihantar ke Gohtong Jaya, Batang Kali. Lain-lain bantuan menyusul. Mohon doa semua untuk kesejahteraan rakyat Malaysia yang terjejas dengan musibah ini,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook rasmi beliau pada Jumaat.

Salahuddin turut merakamkan penghargaan kepada kementerian lain yang menggerakkan bantuan ke lokasi kejadian.

Bantuan itu termasuk roti, biskut, air mineral dan isotonik, coklat, makanan ringan, makanan bijirin dan air kotak sumbangan Yayasan FoodBank Malaysia, AEON, Econsave, Lotus, MR DIY serta 99 Speedmart.

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diminta membantu keluarga mangsa.

Menteri berkenaan, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam kenyataan turut mengucapkan takziah kepada mangsa tragedi serta memohon agar semua pihak bersama-sama mendoakan semoga usaha mencari dan menyelamatkan mangsa dipermudah.

Insiden sekitar 2.42 pagi itu, yang melibatkan runtuhan sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter, menyebabkan 21 orang maut setakat 7.10 malam. - Bernama

Artikel Berkaitan: