'Pengiktirafan UEC tidak relevan sama sekali'

Awang Sariyan
Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC) bukan keutamaan kementeriannya adalah satu langkah yang tepat.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, ini kerana pendidikan negara ini masih banyak diselubungi isu penting seperti mutu, keciciran, perpaduan, golongan miskin, sekolah daif dan pelbagai masalah lain.

"Pada hemat saya, bukan sahaja pengiktirafan UEC itu tidak bertaraf bukan keutamaan, malah tidak relevan sama sekali dengan tujuan memupuk perpaduan dan pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan yang berorientasikan ciri-ciri kenegaraan.

"UEC berada di luar kerangka ciri kenegaraan," tegasnya dalam satu tulisan pada Jumaat.

Fadhlina sebelum ini dilaporkan berkata, usaha bagi mengiktiraf UEC bukan menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat masa ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, sebaliknya kementeriannya akan memberi tumpuan utama kepada usaha dan menangani cabaran ekonomi serta kos sara hidup dihadapi rakyat.

Awang menambah, sijil persendirian seharusnya berada dalam tarafnya, ditambah lagi ia hanya mewakili sejumlah rakyat.

"Juga hanya mewakili sejumlah rakyat berketurunan Cina. Anggaran yang pernah dibuat adalah bahawa UEC hanya melibatkan kira-kira 15 peratus pelajar di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kemurahan hati pemerintah, seandainya berlaku dengan mengiktiraf UEC akan mengundang pelbagai sijil lain yang dituntut untuk diiktiraf, sehingga akhirnya negara kini kebanjiran pelbagai jenis sijil dan menggerhanakan sijil yang bersifat kebangsaan seperti Siji Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)," ujarnya.

Selain itu katanya, ada dalam kalangan orang Cina sendiri juga tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC berkenaan.

"Khususnya mereka yang mengatakan lebih setia kepada negara kerana menghantar anak ke sekolah kebangsaan.

"Mereka menganggap bahawa pengiktirafan UEC merampas hak sebahagian daripada mereka yang mengikuti pengajian di sekolah kebangsaan," jelasnya.