Agong, Raja Permaisuri zahir takziah keluarga mangsa tanah runtuh

Tangkap layar ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Facebook Istana Negara pada Jumaat.
Tangkap layar ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Facebook Istana Negara pada Jumaat.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor awal pagi tadi.

Menerusi catatan di akaun Facebook rasmi Istana Negara pada Jumaat, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku serta berharap agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan berkenaan.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.

Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.
Artikel Berkaitan:


"Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera,” menurut catatan itu.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, polis mengesahkan seramai 16 orang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada awal pagi tadi manakala 17 masih hilang dan 61 lagi berjaya diselamatkan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!