Razman dilantik Ketua Pembangkang DUN Perak

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol daripada Pas, Razman Zakaria diumum sebagai Ketua Pembangkang Perak yang baharu.

Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepadanya secara lisan dalam satu mesyuarat pada Selasa lepas dan akan diumum secara rasmi dalam Persidangan Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 minggu hadapan.

"Saya dimaklumkan bahawa pelantikan Razman sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak telah dipersetujui secara konsensus oleh Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan ahli Dewan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Buat masa ini tidak ada pertikaian timbul daripada mana-mana pihak dan sekiranya ada, jawatan berkenaan akan diputuskan Speaker sepertimana diperuntukkan Perintah Tetap," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negeri, Muhammad Nazri Abdullah.

Persidangan DUN Perak dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 29 Disember ini dan merupakan yang pertama selepas PRU15.

Mohammad Zahir berkata, pengiktirafan kepada ketua pembangkang di negeri itu masih sama sepertimana diterima sebelum ini.

"Jika ada perkembangan lain berkaitan perkara itu, akan diumumkan sendiri oleh Menteri Besar di dalam Dewan," katanya.

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN negeri dan pernah menjawat sebagai Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan pada pentadbiran kerajaan yang lalu.

BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju membentuk kerajaan negeri secara bersama telah memenangi 33 kerusi DUN iaitu majoriti mudah daripada keseluruhan 59 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PH berjaya memenangi 24 kerusi dan BN sembilan kerusi manakala PN mendapat 26 kerusi.