[VIDEO] Tanah runtuh: SAM gesa tubuh suruhanjaya siasatan

Insiden tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Jumaat. Gambar kecil: Meenakshi. - Foto APM Selangor
Insiden tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali pada Jumaat. Gambar kecil: Meenakshi. - Foto APM Selangor
A
A
A

GEORGETOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa agar pihak berkuasa menubuhkan suruhanjaya siasatan untuk menyiasat punca kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang berlaku awal pagi Jumaat.

Selain itu, suruhanjaya siasatan itu juga dilihat amat perlu untuk melaksanakan langkah pencegahan dan pemulihan.

Presidennya, Meenakshi Raman berkata, SAM sebelum ini telah memberi amaran berhubung kerja tanah dan aktiviti lain di kawasan tanah tinggi serta lereng bukit yang mana, kesemua lokasi tersebut adalah kawasan sensitif alam sekitar.

"Punca punca tragedi itu mesti disiasat dan didedahkan secara terbuka. Antara isu yang perlu pihak berkuasa siasat adalah bagaimana tapak perkhemahan dibenarkan di kawasan berbukit dan beberapa perkara berkaitan.

"Gambar yang diambil menunjukkan bahawa keruntuhan cerun tinggi telah berlaku di bawah lebuh raya yang mana, ia juga berhampiran dengan tapak perkhemahan tersebut. Kita mahu tahu, apa punca kejadian tanah runtuh ini berlaku?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam kejadian awa pagi Jumaat, sehingga jam 11.35 pagi, seramai 13 termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Selangor.

Meenakshi berkata, pihak berkuasa perlu menjalankan moratorium ke atas semua pembangunan cerun bukit sehingga semakan menyeluruh mengenai daya tahan kawasan tersebut terhadap peningkatan intensiti dan kekerapan hujan akibat perubahan iklim dijalankan.

"Kerajaan mesti mempercepatkan Pelan Adaptasi Nasional untuk mengenal pasti kawasan yang terdedah dan berisiko tinggi terhadap kesan iklim serta mengambil langkah segera untuk membina daya tahan iklim.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan iklim ketika ini tidak dapat dijangka dan disebabkan itu, adalah tidak sesuai untuk membenarkan aktiviti di lereng bukit kepada orang ramai," katanya.

Beliau turut menggesa agar pihak bertanggungjawab ke atas kematian mangsa dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali perlu dibawa ke muka pengadilan.