Tanah runtuh: Anggota, aset bomba, PBT dikerah ke lokasi kejadian

Amirudin Shari - Foto Bernama
Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota dan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan dikerah ke tempat kejadian untuk membantu proses menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan awam berhampiran Father Organic Farm, Batang Kali.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat di lokasi tersebut sedang giat dijalankan.

“Tanah runtuh di Batang Kali, proses mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilaksanakan dengan giat.

“Mangsa yang ditemui sedang diberi rawatan dan perhatian oleh para petugas.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar para petugas dan mangsa yang masih terperangkap diselamatkan dan dipelihara daripada sebarang musibah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Difahamkan secara keseluruhannya, seramai 79 pengunjung berada di tapak perkhemahan itu, manakala pekerja tapak perkhemahan adalah seramai 15 orang.

Setakat jam 9 pagi tadi, sekurang-kurangnya dua individu maut manakala puluhan lagi dipercayai masih tertimbus.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, runtuhan dianggarkan setinggi 39 meter membabitkan kawasan seluas satu ekar.

Artikel Berkaitan:

Seramai lebih 200 anggota dan pegawai pelbagai agensi seperti bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam berada di lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.