NUTP, MyEzyCover jalin kerjasama strategik

Abu Kassim (dua dari kiri) dan Aminuddin (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian strategik antara NUTP dan MyEzyCover.
Abu Kassim (dua dari kiri) dan Aminuddin (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian strategik antara NUTP dan MyEzyCover.
A
A
A

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) dan A Tech Insure Sdn. Bhd. (MyEzyCover) memeterai kerjasama strategik bagi mempromosi Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Penjawat Awam MyEzyCover.

Pengerusi MyEzyCover, Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed berkata, melalui kerjasama strategik itu kedua-dua pihak akan berganding bahu bagi mempromosi manfaat Program MyEzyCover kepada penjawat awam terutama kepada guru-guru di Kementerian Pendidikan melalui kekuatan keahlian NUTP yang berjumlah lebih 230,000 orang.

Menurutnya, Program MyEzyCover yang dilancarkan oleh kerajaan pada 1 Julai lalu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dan usaha promosi perlu ditingkatkan supaya manfaatnya sampai kepada semua warga penjawat awam.

"Program MyEzyCover merupakan inisiatif kerajaan membantu penjawat awam mengurangkan tekanan kewangan setiap kali memperbaharui insurans kenderaan apabila menawarkan pinjaman tanpa faedah dan bayaran pula boleh dilakukan secara ansuran sehingga 10 bulan melalui Skim Potongan Gaji Angkasa.

"Kami berharap kerjasama dengan NUTP mampu meningkatkan kefahaman warga penjawat awam mengenai program MyEzyCover memandangkan jumlah keahlian kesatuan NUTP lebih 230,000 ahli manakala jumlah guru di seluruh negara pula lebih daripada 400,000 orang," katanya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik NUTP dan MyEzyCover di sini pada Khamis.

Turut hadir Presiden NUTP, Aminuddin Awang, Ketua Pegawai Operasi MyEyzCover, Mark Anthony dan Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.

Abu Kassim menjelaskan, MyEzyCOver menyediakan platform digital sepenuhnya melalui laman web www.myezycover.com untuk penjawat memohon pinjaman tanpa faedah bagi pembelian insurans kenderaan dan cukai jalan.

"Inisiatif tersebut merupakan yang pertama dilaksanakan di negara tanpa sebarang faedah dikenakan ke atas pinjaman," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, NUTP menyambut baik kerjasama yang dijalinkan dengan MyEzyCover memandangkan manfaat Program MyEzyCover boleh membantu ahli-ahli NUTP dan penjawat awam yang lain terutama mereka yang mempunyai komitmen kewangan tinggi.

"MyEzyCover akan menyediakan platform bagi ahli-ahli NUTP dan guru-guru memohon pembiayaan tanpa faedah untuk membeli insurans kenderaan. Di pihak NUTP pula kita akan menggunakan kekuatan keahlian untuk membuat hebahan melalui pelbagai saluran komunikasi supaya manfaat program ini sampai kepada semua penjawat awam," katanya.