Bekas pegawai bank tidak berurusan terus dengan Najib

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Perhubungan AmBank yang mengendalikan akaun Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah berurusan secara langsung dengan bekas perdana menteri itu berkenaan akaunnya kerana "protokol”.

Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata, mengikut tanggapannya sendiri beliau tidak seharusnya berurusan secara langsung dengan Najib yang merupakan perdana menteri pada masa material.

Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia pada masa material. Beliau seorang yang sibuk. Selalunya, orang seperti En Cheah Tek Kuang (bekas Pengarah Urusan AmBank) dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang akan bertemu Najib bukannya orang seperti kita,” katanya.

Saksi ke-41 pendakwaan itu berkata demikian ketika disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes Najib melibatkan penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Muhammad Shafee: Siapa yang memberitahu anda cerita menakutkan bahawa awak tidak boleh berjumpa PM (Najib)

Yu: mungkin tanggapan saya sahaja.

Muhammad Shafee: Tiada siapa yang memberitahu awak ini, bukan? Yu menjawab, "Saya tidak fikir PM (Najib) mempunyai masa berjumpa saya.”

Dalam soalan lain, saksi itu juga bersetuju tidak pelik untuk orang yang sibuk seperti Najib mempunyai seorang yang diberi mandat menguruskan akaunnya.

Artikel Berkaitan:

Najib telah melantik Nik Faisal Ariff Kamil, bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB yang sehingga kini tidak dapat dikesan, selaku seorang yang diberikan mandat menguruskan akaunnya.

Sebelum ini, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau hanya berurusan dengan Jho Low atau Nik Faisal berhubung akaun Najib.

"Berdasarkan pengalaman saya, hanya Najib telah melantik seorang yang diberikan mandat menguruskan akaunnya dan ini adalah kali pertama saya mengendalikan akaun yang diuruskan seseorang,” kata Yu.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata beliau sendiri telah memberikan mandat kepada dua orang untuk menguruskan akaunnya.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pebicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Sequerah bersambung pada 27 Januari tahun depan. - Bernama