Saifuddin ulangi tidak perlu pinda SOSMA buat masa ini

Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Rela, pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Rela, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengulangi pendiriannya untuk tidak meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) buat masa ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat Jabatan Sukarelawan (RELA) di sini pada Khamis, Saifuddin berkata, undang-undang adalah bersifat dinamik serta tidak statik dan SOSMA masih boleh disemak semula dan dipinda dari masa ke masa.

"Pendirian saya ketika ini undang-undang bersifat dinamik dan tidak statik, sebab itu, kita ada Parlimen untuk gubal dan pinda undang-undang sedia ada. Itulah mekanisme yang ada di negara kita.

"Kita perlu respons ikut keperluan dari semasa ke semasa dan adakah ia perlu dipinda sekarang? Itu tidak. Itu prinsip saya dan apa yang saya pegang buat masa ini," katanya ketika diminta mengulas gesaan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo agar beliau mempertimbangkan semula kenyataan berhubung SOSMA.

Saifuddin pada 13 Disember dilaporkan berkata, beliau tidak berhasrat untuk menyemak semula SOSMA serta menyatakan ia bukanlah undang-undang penahanan tanpa bicara tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1967 (ISA) yang sudah dimansuhkan.

Semalam, Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara meminta Saifuddin mempertimbangkan semula kenyataannya untuk tidak menyemak semula SOSMA serta menyatakan kenyataan itu bertentangan dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang selama ini mengakui SOSMA bersifat menindas.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu juga mencadangkan beberapa seksyen yang terkandung dalam SOSMA disemak semula termasuk Seksyen 6, 13, 14, 18A yang dilihat bersifat menindas.

Saifuddin dalam pada itu bersetuju bahawa terdapat beberapa seksyen dan fasal dalam SOSMA yang perlu dipinda dan perlu diteliti Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Artikel Berkaitan:

"Dalam SOSMA ini, memang ada beberapa seksyen dan fasal-fasal tertentu yang tidak boleh kekal selama-lamanya dan perlu diberi pertimbangan sewajarnya dari masa ke masa tetapi ketika ini, saya kata tidak, sebab saya baru dua minggu di sini (KDN),” katanya. - Bernama