WHO harap darurat kesihatan global Covid-19 tamat tahun depan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GENEVA - Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berharap Covid-19 tidak lagi menjadi darurat kesihatan global pada tahun depan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Covid-19 WHO akan membincangkan kriteria untuk mengisytiharkan penamatan darurat Covid-19 pada bulan depan, lapor Xinhua.

"Kami berharap pada tahun depan, kami akan dapat menyatakan bahawa Covid-19 bukan lagi darurat kesihatan global," kata beliau dalam satu taklimat akhbar di Geneva pada Rabu.

Bagaimanapun, menurut beliau virus SARS-CoV-2 yang menjadi punca di sebalik pandemik Covid-19 tidak akan lenyap.

"Ia akan kekal berada di sini dan semua negara perlu belajar menguruskannya bersama-sama penyakit pernafasan lain termasuk influenza dan RSV (Respiratory Syncytial Virus) yang kedua-duanya kini merebak dengan pantas di banyak negara," kata beliau.

Ketua WHO itu berkata, satu daripada pengajaran paling penting daripada pandemik itu, semua negara perlu mengukuhkan sistem kesihatan awam untuk bersiap sedia, mencegah, mengesan dan bertindak balas dengan pantas terhadap pandemik, wabak dan epidemik.

Satu lagi pengajaran berguna ialah perlunya kerjasama lebih kukuh dalam tindak balas global terhadap Covid-19.

Sementara itu, ketua teknikal Program Kesihatan WHO Maria Van Kerkhove memberi amaran gelombang jangkitan dan jangkitan semula akan berterusan di seluruh dunia kerana jumlah kematian baharu yang dilaporkan setiap minggu adalah antara 8,000 hingga 10,000.

Artikel Berkaitan:

Menurut pengarah eksekutif program itu, Mike Ryan dunia masih tidak mengetahui bagaimana virus SARS-CoV-2 akan berkembang pada masa depan dan ketidakpastian sedemikian menambah lagi risiko.

"Sebelum WHO menamatkan darurat Covid-19, keseimbangan termasuk impak dan ketidakpastian perlu diambil kira, sama ada kita telah menangani kelemahan dan isu daya tahan dalam sistem kesihatan kita atau tidak," kata Ryan. - Bernama