CEO CAAM tamat perkhidmatan 31 Disember ini

Kapten Chester Voo - Foto Bernama
Kapten Chester Voo - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo bakal berakhir pada 31 Disember ini.

Pengerusi CAAM, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata, Chester telah meluahkan hasrat untuk memendekkan tempoh perkhidmatan pada Oktober 2022, namun telah ditangguhkan.

"Penangguhan ini bagi membolehkan CAAM melaksanakan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan.

"Perkara ini telah dipersetujui dan beliau serta pihak pengurusan CAAM telah menyediakan pelan strategik 2023 yang lengkap buat CAAM bagi memastikan proses kesinambungan yang positif.

"Kapten Chester telah mengemukakan surat peletakan jawatannya dan telah diterima oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, di mana hari terakhir perkhidmatan beliau adalah pada 31 Disember 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Khairul Adib berkata, Chester telah memberikan komitmen yang tinggi dalam kepimpinan yang berkesan kepada pengurusan CAAM.

Ujarnya, dalam tempoh sama juga CAAM telah mencapai pelbagai kejayaan yang telah membawa CAAM dikenali sebagai badan kawal selia keselamatan dan sekuriti industri penerbangan serta penyedia perkhidmatan navigasi udara yang mampan.

"Anggota Pihak Berkuasa yakin dan positif dengan transformasi yang dilaksanakan oleh organisasi ini dalam tempoh dua tahun setengah yang lalu telah membawa CAAM ke landasan yang betul untuk melaksanakan peranan utamanya dalam mengawasi dan mempromosikan aspek keselamatan industri penerbangan negara serta menyediakan perkhidmatan navigasi udara bertaraf antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"CAAM juga yakin dan positif dengan transformasi yang dilaksanakan oleh organisasi ini dalam tempoh dua tahun setengah yang lalu telah membawa CAAM ke landasan yang betul untuk melaksanakan peranan utamanya dalam mengawasi dan mempromosikan aspek keselamatan industri penerbangan negara serta menyediakan perkhidmatan navigasi udara bertaraf antarabangsa,"katanya.

Justeru, katanya, Anggota Pihak Berkuasa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Chester atas dedikasi, kesungguhan, kerja keras dan sumbangan besar yang telah dilakukan sepanjang berkhidmat di CAAM dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau pada masa hadapan.