Mangsa banjir seluruh negara menurun 2,579 orang

Mangsa banjir di Kampung Kusar, Rantau Panjang, Kelantan menaiki bot untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran pada Ahad.
Mangsa banjir di Kampung Kusar, Rantau Panjang, Kelantan menaiki bot untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di seluruh negara menurun kepada 2,579 orang melibatkan 765 keluarga di empat negeri setakat jam 4 petang Rabu.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kesemua mangsa ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Perak, Kelantan, Pahang dan Johor.

Jumlah itu menunjukkan pengurangan berbanding jam 7 pagi Rabu, dengan 2,672 mangsa daripada 809 keluarga berlindung di 20 PPS seluruh negara.

Nadma memaklumkan, terdapat lima PPS telah ditutup dan dua PPS baharu dibuka secara keseluruhan pada Rabu.

“PPS yang ditutup tersebut terletak di daerah Muallim (Dewan Sekolah Kebangsaan Slim River), Besut (Balairaya Kampung Pantai), Setiu (Surau Kampung Nyatoh), Kuala Terengganu (Sekolah Kebangsaan Atas Tol) dan Bera (Sekolah Kebangsaan Seri Buntar).

“Sementara itu, PPS baharu yang dibuka ialah di Kota Tinggi (Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Bandar Penawar),” katanya.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), terdapat empat sungai yang merekodkan bacaan air pada tahap bahaya iaitu Sungai Keratong Jalan Kota Bahagia, Rompin, Pahang; Sungai Peneh di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu, Terengganu; Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.

Artikel Berkaitan: