Pergolakan politik di Sabah membimbangkan - Mohd Shafie

Michael Newbill (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Shafie (tengah).
Michael Newbill (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Shafie (tengah).
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bimbang dengan pergolakan politik yang berlaku di peringkat Sabah ketika ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, ketidakstabilan politik berlaku disebabkan perbuatan pihak yang keluar daripada parti.

"Kita akan lihat bagaimana keadaan supaya kestabilan dapat direalisasikan, bagi kita pergolakan politik yang berlaku kebelakangan ini agak membimbangkan. Itu perbuatan mereka, bukan kita yang minta mereka letak jawatan daripada parti mereka, mereka yang buat.

"Itu terserah dan ini menimbulkan ketidakstabilan yang berlaku, walaupun kita sedar dan faham Rang Undang-Undang Anti Lompat di peringkat Persekutuan telah diluluskan tetapi amalan ini masih lagi dilakukan, jadi ini menjadi kebimbangan kita," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai keadaan semasa politik selepas menerima lawatan rasmi, Timbalan Ketua Misi Amerika Syarikat, Michael Newbill di kediamannya di sini.

Susulan keadaan semasa politik di Sabah itu menyebabkan Mohd Shafie memberi peringatan kepada ahli politik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan supaya tidak melahirkan keadaan politik yang kurang baik kepada Sabah.

"Sebab itu dalam mesyuarat semalam (Selasa) dengan Ahli Majis Tertinggi (AMT) dan ADUN-ADUN, saya nasihatkan mereka supaya jangan lakukan yang tidak baik.

"Saya tahu banyak cubaan menarik mereka, kemungkinan ada yang tidak cukup, kemungkinan ada yang memerlukan sokongan, sepatutnya perkara ini dihentikan.

Artikel Berkaitan:

"Bukannya ada kebaikannya dan ia hanya untuk lahirkan satu suasana politik yang semakin tidak baik," katanya.

Ditanya mengenai usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Isnin depan, beliau sekali lagi menegaskan bahawa sejak di peringkat awal Warisan telah menyatakan pendirian untuk memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Asasnya seperti yang saya nyatakan, parti ini jumlahnya besar iaitu 82 (ahli Parlimen) dan ditokok tambah dengan mandat rakyat, saya ingat lebih satu juta yang telah undi Pakatan Harapan (PH) disamping itu bila saya lihat ada gabungan dengan parti dikatakan Barisan Nasional (BN) dan itu satu langkah cukup baik dan kita akan teruskan.

"Saya yakin Anwar Ibrahim akan dapat mandat yang cukup untuk membolehkan beliau teruskan pimpinan negara ini," katanya.