[VIDEO] Lelaki Nepal didakwa bunuh dua rakan senegara

Tertuduh berbaju ungu diiring polis sebaik tiba di mahkamah.
Tertuduh berbaju ungu diiring polis sebaik tiba di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh dua rakan senegara dalam kejadian di sebuah kedai makan di Pusat Komersial Oakland di sini, awal Disember lalu.

Tertuduh, Thakur Prasad Bhandari, 37, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan berasingan tertuduh yang merupakan peniaga didakwa telah melakukan perbuatan membunuh lelaki warganegara Nepal Manoj Kumar Chaudhary berusia 35 tahun dan Krishna Kumar Damai Pariyar, 46.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan, Tingkat 1, Jalan Haruan 4/7, Pusat Komersial Oakland, Seremban lebih kurang jam 9.08 pagi hingga 4.48 petang pada 3 Disember lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hendaklah dihukum mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 13 Februari 2023 untuk serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua lelaki warga Nepal ditemukan dengan kesan kecederaan hentakan pada muka di sebuah rumah rumah kedai yang dijadikan kantin pekerja pada jam 6.25 petang, 3 Disember lalu.

Mayat kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan muka berlumuran darah di premis terbabit.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa dipukul menggunakan penukul dan senjata berkenaan turut ditemui di lokasi.