Israel beri alasan tertembak secara tak sengaja

Penduduk Palestin menghadiri pengebumian Jana yang maut ditembak rejim Zionis pada Ahad lalu. - Foto: Agensi
Penduduk Palestin menghadiri pengebumian Jana yang maut ditembak rejim Zionis pada Ahad lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

RAMALLAH - Rejim Zionis mengakui anggotanya tertembak remaja perempuan Palestin secara tidak sengaja ketika insiden berbalas tembakan di Tebing Barat dalam kejadian kegasanan terbaharu di wilayah tersebut.

Mayat Jana Majdi Zakarneh, 16, dengan kesan tembakan ditemui di atas bumbung rumah keluarganya di Jenin pada Ahad lalu.

Menurut saksi, mereka melihat penembak tepat Israel yang berada di bangunan berhampiran melepaskan tembakan ke arah gadis tersebut yang mahu mengambil kucingnya.

"Empat das tembakan yang mengenai Jana telah meragut nyawanya," kata bapa saudaranya, Yasser dalam nada sedih.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mereka mendapati kononnya Jana berada dekat dengan kumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan dan melemparkan bom molotov ke arah anggota mereka.

"Kami kesal dengan bahaya yang timbul sehingga menyebabkan orang awam yang berada dalam jarak dekat terkorban," ujarnya lagi sambil menambah seramai 18 individu telah ditahan dalam operasi tersebut.

Susulan insiden kekejaman terbaharu itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan rejim Tel Aviv dalam 'senarai memalukan' kerana jenayah yang dilakukan terhadap golongan kanak-kanak dan remaja.

Beliau membuat gesaan itu ketika mesyuarat bersama Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Konflik Bersenjata dan Kanak-kanak, Virginia Gamba di Ramallah.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertemuan berasingan, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki turut menyerahkan laporan terperinci mengenai jenayah dilakukan rejim Zionis terhadap kanak-kanak Palestin.

Laporan itu mendedahkan jenayah secara sengaja dan sistematik seperti yang terkandung di bawah kerangka kerja Resolusi 1612 Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik bersenjata dan kanak-kanak.

Riyad juga memperincikan serangan rejim Zionis terhadap pusat pendidikan termasuk sekolah, kolej dan universiti di beberapa lokasi di Tebing Barat.

"Saya berharap Gamba dapat mendesak rejim Tel Aviv supaya menghentikan jenayah kejam ke atas kanak-kanak Palestin dan meminta komuniti antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk memenuhi kewajipannya bagi melindungi penduduk Palestin.

"PBB perlu ambil langkah sewajarnya untuk mengheret Israel yang merupakan penjenayah perang ke muka pengadilan," tegasnya. - Agensi

Info:

>Sejak awal tahun lalu, lebih 210 penduduk Palestin termasuk lebih 50 kanak-kanak terbunuh di Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza.

>Menurut PBB, jumlah korban kekejaman rejim Zionis di Tebing Barat pada 2022 adalah yang paling tinggi dalam tempoh 16 tahun.

>Tentera Israel sering melakukan serbuan pada waktu malam menyasarkan bandar Jenin dan Nablus yang menjadi markas kumpulan penentang Palestin.

>Kumpulan hak asasi manusia mengutuk tindakan kekerasan melampau dan 'dasar tembak bunuh' terhadap penduduk Palestin.