KKD perhalusi isu keselamatan siber, lindungi data peribadi

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (kanan) pada temu bual bersama Pengacara Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dalam rancangan Naratif Khas bertajuk 'Membina Naratif Baru' terbitan RTM pada Selasa.- Foto: Bernama
Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (kanan) pada temu bual bersama Pengacara Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar dalam rancangan Naratif Khas bertajuk 'Membina Naratif Baru' terbitan RTM pada Selasa.- Foto: Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang berusaha untuk memperhalusi isu keselamatan siber bagi melindungi data peribadi pengguna dalam negara ini daripada terdedah kepada ancaman dalam talian seperti penipuan atau kecurian maklumat.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan, isu keselamatan siber dan data peribadi perlu diutamakan selain pihaknya sedang meneliti dan merangka jalan penyelesaian segera terhadap isu berkenaan.

"Kita mesti ada satu pemahaman bahawa data adalah satu khazanah negara, kita ada data kita boleh buat pelbagai aktiviti, kita boleh sampaikan sumbangan, bantu anak miskin pastikan yang hendak masuk hospital dapat keutamaan, semua berkisarkan data, selamat data selamatlah masa depan kita,” katanya dalam temu bual Bicara Naratif terbitan Berita RTM di Angkasapuri, di sini malam Selasa.

Beliau turut menyeru agar setiap pemegang data yang besar untuk berhubung dengan pihak CyberSecurity Malaysia (CSM) berkenaan dengan audit keselamatan siber bagi memastikan keselamatan data pengguna dalam negara terjamin.

Fahmi berkata, perkara itu penting memandangkan sejak tahun 2017 hingga kini negara telah kehilangan lebih 100 juta set data peribadi yang telah dicuri oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menasihatkan agar mangsa penipuan (scam) untuk melaporkan kejadian yang menimpa mereka dan tidak malu untuk berhubung dengan pihak berkuasa.

"Jangan risau, jangan takut, jangan malu, dial 997, ini adalah Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di bawah jagaan Bank Negara Malaysia buatlah panggilan itu boleh dihubungi antara jam 8 pagi sehingga 8 malam,” katanya.

Ditanya mengenai penubuhan Majlis Media Malaysia, Fahmi berkata, beliau telah meminta pihak kementerian untuk membentangkan perkara itu dan beliau akan mendengar sesi pembentangan tersebut dalam tempoh satu atau dua minggu.

"Saya lihat tugas dan fungsi wartawan ini sebagai salah satu tiang seri dalam konsep kerajaan. Media pastikan semua (legislatif, eksekutif dan kehakiman) berjalan dengan baik. Saya dan timbalan saya, Teo Nie Ching konsisten dalam bab ini. Kami akan teliti apa yang patut,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media dari seluruh negara. - Bernama