Pegawai Penerangan Bachok maut kemalangan

Fadli Muhamad (gambar kecil) maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah MPV yang mahu membelok di Jambatan Pok Nik Lah, Kota Bharu pada Selasa.
Fadli Muhamad (gambar kecil) maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah MPV yang mahu membelok di Jambatan Pok Nik Lah, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Bachok maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mahu membelok di Jambatan Pok Nik Lah di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, mangsa, Fadli Muhamad, 47, yang menunggang motosikal Scrambler jenis Husqvarna dalam perjalanan ke tempat kerja maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Bagaimanapun, pemandu MPV yang merupakan seorang wanita berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah lampu isyarat Panchor menghala ke Bachok melalui Jambatan Pok Nik Lah.

"Setiba di lokasi kejadian, sebuah MPV jenis Perodua Alza yang dipandu seorang wanita dari arah bertentangan telah membelok ke kanan untuk masuk ke lorong kecil.

"Motosikal yang ditunggang mangsa telah terlanggar bahagian pintu belakang sebelah kiri MPV tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kepala mangsa telah terhentak pada cermin pintu MPV berkenaan menyebabkan dia terjatuh.

Ujarnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut mengenai kemalangan ini sedang dijalankan," katanya.