Lelaki didakwa tumbuk, tendang isteri enggan pergi majlis adik

Kamal Ariffin (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.
Kamal Ariffin (dua dari kiri) ketika keluar dari Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang penghantar makanan lima anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, atas tuduhan menumbuk dan menendang isterinya kerana tidak mahu pergi ke majlis tamat latihan adiknya.

Kamal Ariffin Sehat, 40, membuat pengakuan bersalah, namun Majistret Mazana Sinin menolak pengakuan itu kerana ia dibuat ‘secara bersyarat’ membabitkan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Fadilah Hussin, 39, dengan menumbuk muka dengan tangan dan menendang bahagian belakang badan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 9 malam di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana di sini, pada 8 Disember lalu.

Justeru dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun dan denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Dipercayai kejadian itu berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak mereka untuk pergi ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun wanita itu enggan mengikuti dan menyebabkan tertuduh marah lalu mencederakan isterinya.

Ketika prosiding berjalan, tertuduh mengaku hanya menarik rambut dan menampar muka isterinya.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu mahkamah menolak pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh selepas pihak pendakwaan turut ingin mengekalkan pertuduhan seperti yang telah dinyatakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha yang menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana menyara lima orang anak dengan pekerjaan sebagai penghantar makanan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 26 Januari depan sebagai sebutan semula dan lantikan peguam.